Hard disk merupakan perkakasan penting di dalam sistem komputer anda, baik desktop mahupun laptop. Selain dari digunakan sebagai storan menyimpan data, ia juga digunakan untuk menempatkan sistem operasi komputer anda. Oleh itu, hard disk memerlukan penjagaan yang rapi supaya ia keselamatan kandungan datanya terjamin dan dapat digunakan pada tempoh yang lebih panjang.
Artikel ini menceritakan serba sedikit tentang punca kerosakan hard disk biasa dan cara penjagaannya. Penjagaan hard disk jenis SSD tidak dirangkumi kerana tata cara pengurusan dan risiko kerosakannya agak berbeza jika dibandingkan dengan hard disk biasa.
Kerosakan Fizikal
Punca paling kerap berlaku yang menyebabkan hard disk biasa lekas rosak adalah kerosakan fizikal yang disebabkan oleh terjatuh atau gegaran. Binaan dalaman hard disk yang terdiri dari komponen-komponen kecil mekanikal sangat sensitif terhadap sebarang perubahan yang berlaku terhadap jajarannya (alignment). Terlari sikit pun sudah cukup untuk menjadikan hard disk berkenaan bermasalah.
Untuk itu, langkah sebaiknya adalah meminimumkan sebarang pergerakan luaran yang melibatkan hard disk anda. Hard disk desktop yang bersaiz faktor 3.5 inci lebih berisiko untuk rosak berbanding hard disk untuk kegunaan laptop (2.5 inci) kerana hard disk untuk laptop dibina lebih tahan lasak kerana ia dibina khusus untuk peranti mudah alih.
Namun, anda tetap perlu mengendalikannya dengan berhati-hati kerana kalau anda terhentak sikit pun hard disk berkenaan mempunyai risiko untuk berlakunya kerosakan data.
Terlampau panas
Sama juga dengan perkakasan-perkakasan elektronik lain, hard disk perlu dioperasikan di bawah julat suhu yang optimal bergantung kepada model dan pengeluarnya. Asalkan anda menggunakannya di dalam julat suhu yang bersesuaian, hard disk dapat digunakan tanpa sebarang masalah.
Namun, masalah kepanasan sering timbul apabila kerangka desktop tidak diselenggara dengan baik hingga aliran udara di dalamnya terganggu akibat dipenuhi habuk. Begitu juga halnya dengan laptop di mana anda perlu ambil perhatian pada bahagian rongga aliran keluaran udaranya supaya bebas dari habuk-habuk yang menyekatnya.
Pengguna laptop boleh juga menggunakan pelapik laptop berkipas yang mampu melancarkan aliran udara pada permukaan bawah laptop dan mengurangkan risiko lampau panas pada laptop.
Fragmentasi fail
Fragmentasi fail bukanlah punca kerosakan hard disk secara langsung. Bagaimanapun, fragmentasi akan membuatkan hard disk bekerja dengan lebih kuat kerana perlu mencari pecahan-pecahan data yang bersepah dan tidak bersusun pada satu tempat.
Oleh itu, kerja-kerja defragmentasi perlu dilakukan supaya pecahan-pecahan data ini dapat disusun kembali dan memudahkan capaian data dapat dilakukan dengan lebih pantas. Defragmentasi juga penting untuk meningkatkan prestasi komputer anda secara keseluruhannya. Hard disk yang menggunakan format FAT32 perlu lebih kerap melakukan defragmentasi berbanding yang menggunakan format NTFS.Bagaimanapun, anda tidak perlulah terlalu kerap melakukan defragmentasi ini kerana fragmentasi berlaku apabila anda banyak perubahan data terlalu kerap berlaku pada hard disk anda. Sebaiknya, anda melakukan defragmentasi apabila fragmentasi anda sudah mencapai diantara 5 hingga 10 peratus.
Gangguan bekalan elektrik
Bekalan kuasa elektrik ada masanya tidak konsisten. Pada satu-satu masa, voltan boleh melebihi dari kadar biasa dan lonjakan voltan yang naik secara mengejut dalam waktu yang singkat dipanggil sebagai pusuan voltan (voltage surge).Pusuan voltan boleh menyebabkan kerosakan terhadap perkakasan komputer anda termasuklah hard disk. Untuk mengatasi masalah ini, penggunaan pelindung voltan pusuan (surge protector) dapat melindungi perkakasan komputer anda dari kerosakan yang berpunca dari gangguan bekalan elektrik.
Selain dari masalah pusuan voltan, masalah terputus bekalan elektrik yang berlaku terlalu kerap juga mampu mendatangkan kesan buruk terhadap perkakasan komputer terutamanya hard disk. Untuk itu, sebaiknya anda boleh mennggunakan power supply yang lengkap dengan surge protector. Perlindungan dua-dalam-satu ini sekurang-kurangnya mampu melindungi anda dari bahaya yang tidak diduga.
Kesimpulan
Hard disk memerlukan penjagaan yang cermat oleh kita sebagai pengguna. Hal ini kerana, walaupun hard disk boleh digantikan dengan yang baru, data yang terkandung di dalamnya itu lebih bernilai dari harga perkakasan itu sendiri. Oleh itu, langkah sebaiknya adalah mengendalikannya dengan cermat kerana bimbang ia rosak sebelum anda sempat melakukan backup terhadap kandungan di dalam hard disk berkenaan.
No comments:
Post a Comment