Monday, 19 February 2018

Pengusaha hotel tidak pamer harga dikenakan tindakan sama dengan peniaga lain


AYER KEROH: Kesalahan tidak menyatakan harga sebenar bagi pengusaha hotel serta makanan dan minuman (F&B) selepas ini adalah sama dengan tindakan peniaga-peniaga lain yang tidak mempamerkan tanda harga.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kesalahan itu dianggap sama selepas Rang Undang-Undang Kawalan Harga dan Antipencatutan (Pindaan) 2017 serta Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2017 diluluskan Dewan Rakyat pada Khamis.
Langkah itu diambil bagi mengelakkan pengguna dikenakan caj yang berlainan daripada apa yang diiklankan oleh peniaga dan juga bagi melindungi hak mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Koperasi Negara 2017 Peringkat Negeri Melaka yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron di MITC Ayer Keroh petang Jumaat.

Hamzah ketika menggulung perbahasan dua rang undang-undang tersebut di Dewan Rakyat kelmarin memaklumkan peniaga tidak lagi dibenarkan mempamerkan harga berbeza dengan harga yang perlu dibayar oleh pengguna dan ini bermakna tiada kos tersembunyi terpaksa ditanggung dan pengguna dan mereka hanya perlu membayar berdasarkan harga yang dipamerkan oleh peniaga.

Bagaimanapun katanya, sebagai permulaan, hanya peniaga yang terlibat dalam sektor perhotelan serta F&B perlu mematuhi peraturan pameran harga terangkum termasuk iklan yang ditawarkan mereka perlu meliputi semua caj seperti cukai, duti dan caj kerajaan.


Sementara itu beliau berkata, peniaga dalam talian yang gagal mempamerkan tanda harga pada gambar barangan jualan boleh dikenakan tindakan undang-undang sama seperti peniaga konvesional mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Menurutnya, akta tersebut telah lama dikuatkuasakan namun sehingga kini masih ramai peniaga dalam talian yang tidak mengendahkan perkara tersebut.

Kementeriannya kata beliau dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memastikan tindakan diambil adalah mengikut akta bersesuaian.

No comments:

Post a Comment